Pengurusan Permit Import (AP) Yang Lebih Baik Jana Sumber Kewangan Negara Menggantikan Cukai Eksais

Kebimbangan yang dimainkan oleh Umno/Barisan Nasional dan sesetengah pihak bahawa penghapusan cukai eksais kereta demi menurunkan harga kereta akan mengurangkan hasil kerajaan dan menjejaskan ekonomi adalah tidak tepat.

KEADILAN telah menjelaskan bahawa jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat. Jumlah ini akan dibelanjakan oleh rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi ini akan meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan cukai pendapatan syarikat dan individu. Kesan berganda kepada ekonomi negara jika jumlah RM8 billion ini dipulangkan kepada rakyat adalah lebih tinggi berbanding jika ia berada di dalam poket kerajaan.

Malah, pengurusan permit import (AP) kereta yang lebih baik juga akan menambahkan lagi pendapatan negara. Gabungan kedua-dua langkah ini akan memastikan pendapatan negara tidak terjejas secara mendadak hasil dari penghapusan cukai eksais secara berperingkat.

Perlu diingatkan, Umno/Barisan Nasional telah mungkir janji dengan rakyat untuk menghapuskan AP seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Negara yang berkuatkuasa bermula 20 Oktober 2005. Janji untuk menghapuskan AP menjelang 31 Disember 2010 tidak ditepati, sebaliknya kini sasaran itu ditangguhkan pula ke 31 Disember 2015.

Sistem AP bukan sahaja menyebabkan harga kereta yang lebih tinggi tetapi hanya menguntungkan sesetengah pihak yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional.

Janji Umno/Barisan Nasional supaya hasil dari AP ini akan digunakan untuk membantu usahawan Bumiputra di dalam sektor automotif juga tidak ditepati. Di dalam ucapan belanjawan 2010, Dato’ Seri Najib telah mengumumkan bahawa setiap AP akan dijual pada harga RM10,000 dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam satu tabung untuk membantu usahawan Bumiputra.

Bagi tahun 2011, sebanyak 600,123 unit kenderaan didaftar. Dari jumlah itu, 533,515 unit dikeluarkan dan dipasang di Malaysia, bermakna sejumlah 66,608 AP telah dikeluarkan dalam tahun 2011 bagi kenderaan import. Jika benar hasil AP yang bernilai RM10,000 setiap satu ini telah dimasukkan ke dalam satu tabung untuk usahawan Bumiputra, sepatutnya pentadbiran Dato’ Seri Najib telah membelanjakan RM666 juta setiap tahun untuk membantu usahawan Bumiputra dalam sektor automotif seperti yang dijanjikan.

Sehingga kini, kita masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai tabung ini atau pun hasil AP yang telah dibelanjakan untuk rakyat.

Sebab itu, KEADILAN mencadangkan supaya kerajaan akan datang kekal dengan komitmen untuk menghapuskan AP menjelang tahun 2015 supaya tidak melanggar peraturan WTO dan AFTA yang telah dipersetujui.

Dalam tempoh 3 tahun di antara 2013 dan 2015, langkah-langkah berikut wajar dilaksanakan bagi mendapatkan nilai terbaik dari AP yang dikeluarkan:

1. Penjualan AP akan dibuka kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api, demi menggalakkan lebih banyak kereta yang menjimatkan bahan api diperkenalkan

2. Harga permulaan bidaan ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan bahan api yang lebih

3. KEADILAN percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada proses bidaan

4. Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada kerajaan

Walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapusan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.

Pendapatan tambahan dari hasil AP yang dirombak dianggarkan akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun bagi mengimbangi penurunan kutipan cukai eksais.

Pada masa yang sama, hasil kutipan cukai yang lain juga dijangka akan meningkat apabila perbelanjaan rakyat berikutan suntikan RM8 bilion merancakkan ekonomi negara.

KEADILAN merasakan formula ini adalah lebih baik berbanding pendekatan mencekik darah rakyat melalui cukai eksais berkali ganda yang menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN

YB SIM TZE TZIN
TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN

31 JULAI 2012

Advertisements

Makcik 61 Tahun menunggang motorsikal sejauh 260 km untuk hadir ke Himpunan Oren Selamatkan Felda

 

 

Kerana tidak sanggup lagi melihat penipuan dan kepapaan yang berlaku di dalam Felda, seorang makcik 61 tahun sanggup menunggang motorsikal sejauh 260 km untuk hadir ke Himpunan Oren Selamatkan Felda di sini semalam.

Kesungguhan dan kecekalan Salmiah Mat Jali dari Felda Ijok, di Larut, Perak itu mendapat perhatian peserta di himpunan depan Istana Negara. Lebih lagi apabila Salmiah memberitahu dia melakukan perjalanan itu seorang diri.

“Dari Larut sehingga ke sini adalah dalam 260 kilometer. Makcik bertolak sejak awal pagi-pagi lagi,” ujar Salmiah yang hadir pada himpunan yang bermula sekitar jam 1 tengahari semalam.

Ketika ditanya adakah beliau risau untuk merempuhi perjalanan yang agak jauh seorang diri, Salmiah berkata:

“Makcik dah biasa dah.” Beliau berhenti di dua kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Lebuhraya Utara-Selatan untuk berehat semasa perjalanannya.

Ketika diwawancara, Salmiah masih lagi memakai topi keledarnya dengan bertudung warna oren.

Menurut Salmiah, beliau sanggup turun ke perhimpunan itu semata-mata menyatakan sokongan padunya kepada himpunan yang mahu campurtangan Yang Dipertuan Agong bagi membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Kemuncak perhimpunan itu adalah serahan memorandum yang digubal Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) kepada pegawai Yang Di-Pertuan Agong.

Salmiah berkata, ketidakadilan agihan saham FGVH kepada peneroka berbanding pelabur adalah antara sebab yang mencetuskan kemarahannya sehingga sanggup datang daripada jauh untuk himpunan tersebut.

“Saham yang mereka beri kepada warga Felda terlalu kecil, jumlahnya 800 unit. Sedangkan ada pimpinan Umno yang memperolehi saham yang besar.” -selangorku

250,204 anak luar nikah

 

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Siti Zailah Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan, pernah mendedahkan beberapa ‘kekacauan sosial’ dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia, masakini.

Angka Anak Luar Nikah Menakutkan

Selain ketirisan dana kerajaan, katanya, gejala rasuah dan jenayah kezaliman semakin menjadi-jadi.

Pada bulan Mac tahun ini, beliau meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan kedudukan terkini nasib anak-anak luar nikah di seluruh Negara.

Jawapan yang diterima adalah angka yang sangat menggerunkan!

Parlimen Malaysia diberitahu bahawa seramai 250,204 anak luar nikah bermula dari 2007 hingga 2011, dengan perangkaan seperti berikut;

  1. 2007 seramai 44,234 orang
  2. 2008 seramai 46,822 orang
  3. 2009 seramai 52,378 orang
  4. 2010 seramai 52,982 orang
  5. 2011 seramai 53,788 orang.

Kadar Jenayah Tetap Tinggi

Menurut laporan Pemandu, kadar jenayah Malaysia semakin tinggi dengan indeks keseluruhannya telah meningkat daripada 746 kes jenayah yang dilapor bagi setiap 100,000 penduduk pada 2006 menjadi 767 pada 2007, iaitu suatu kenaikan hampir 3%.

Walaupun kadar jenayah dilaporkan telah menurun, bilangannya tetap puluhan ribu. Contohnya, bilangan jenayah pada tahun 2010 adalah 24,837 kes manakala pada tahun 2011 iaitu 22,929 kes . Ia Memang berkurangan, tapi masih wujud. Jadi tak hairan kalau anda masih mendengar berita tentang berlakunya jenayah.

Walaupun kerajaan cuba memberitahu rakyat bahawa kadar jenayah negara ini berkurang, rakyat dikejutkan dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bahawa ia sedang meningkat.

Beliau mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

“Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah.
“Sewaktu saya memikul tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut tentang peningkatan kadar jenayah,” kata Musa kepada sebuah akhbar online.

Rasuah Semakin Meningkat

Banyaknya laporan yang menjelaskan, kadar perlakuan rasuah meningkat di negara ini, menunjukkan juga secara perbandingan bahawa kadar jenayah meningkat.

Rasuah adalah jenayah yang menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama; Meminta/Menerima Rasuah, Menawar/Memberi Rasuah, Membuat Tuntutan Palsu dan Menyalahguna Jawatan/Kedudukan.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan, Gejala pengambilan rasuah yang berlaku di negara ini menyebabkan Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion pada tahun 2010.

Katanya, meskipun kajian daripada Bank Dunia itu tidak dapat disahkan sumbernya, usaha keras perlu dilakukan bagi menangani gejala itu.
“Jika dilihat daripada RM1 bilion sahaja, kita boleh membina 90 buah sekolah rendah atau 500 buah jambatan, 667 kilometer jalan luar bandar atau 6,667 kilometer jalan kampung.

“Namun rasuah menyebabkan negara kita mengalami kerugian besar. Atas sebab itu, kita perlu mencegah rasuah dan tidak mahu wang rasuah mengalir keluar,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada majlis pelancaran Hari Integriti Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2011 di Dewan Resital pada 1 Mac 2011.

SPRM dalam satu kenyataan media 13 Januari 2012 menjelaskan bahawa sejak dinaikkan taraf pada 2009, kadar pendakwaan kes adalah 74 peratus pada 2011, berbanding 71 peratus pada tahun 2010 dan 54 peratus pada 2009.

Kenyataan tersebut menunjukkan arah menaik, yang membawa makna bahawa kejadian rasuah semakin meningkat kerana sekiranya rasuah menurun, maka pastinya pendakwaan kes juga menurun.
Laporan Transparency International berkait Indeks Persepsi Rasuah menunjukkakan kedudukan rasuah Malaysia di peringkat antarabangsa semakin merudum.

Pada tahun 2006 kedudukan Malaysia pada tangga 43 daripada 163 negara dunia dan pada tahun 2007 Malaysia pada tangga 43 daripada 179 negara.

Pada tahun 2008 kedudukan Malaysia pada tangga 47 daripada 180 negara dunia dan pada tahun 2009 Malaysia pada tangga 56 daripada 180 negara.

 

sumber – KLPOST

Malaysia hilang RM893b dalam aliran keluar haram, kata penyelidik

 

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Sejumlah RM893 billion dipercayai keluar daripada cukai ekonomi Malaysia ke luar negara antara 1970 dan 2010, demikian berdasarkan laporan kaji selidik berpangkalan di London, meletakkan negara berada di tangga tertinggi antara 20 negara membangun yang dilabelkan sebagai “tewas” dalam kehilangan modal. Jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada hutang Malaysia yang berjumlah RM257.2 bilion pada 2011, menurut laporan media sebelum ini.

Kajian yang dijalankan oleh Tax Justice Network (TJN), satu organisasi professional berpangkalan di London termasuk ahli-ahli ekonomi dan perunding cukai, Malaysia sekarang menduduki tangga ke-12 dua anak tangga di atas RM533 bilion aliran keluar Singapura dan ketiga di bawah Indonesia yang berjumlah RM1 trilion.

Menurut penyelidik James Henry di The Guardian UK hari ini, “ekonomi luar pesisir”  meninggalkan satu impak utama dengan anggaran-anggaran ketaksamaan kekayaan dan pendapatan baru dalam mana-mana negara, serta anggaran-anggaran nisbah pendapatan negara dan hutang.

“Yang lebih penting —  (ia akan) mempunyai kesan negatif amat penting di pangkalan-pangkalan cukai tempatan ‘sumber’ negara,” kata Henry dipetik akhbar berkenaan.

Bekas ahli ekonomi dan ketua di perundingan McKinsey, dalam menyediakan laporan penyelidikan bertajuk “The Price of Offshore Revisited” untuk TJN, telah memperolehi data daripada Bank of International Settlements (BIS), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan para penganalisis sektor swasta untuk menyimpulkan bahawa lebih empat dekad lalu, satu anggaran mencemaskan sejumlah RM66 trilion atau mungkin RM100 trilion telah membanjiri daripada negara asal mereka merentasi dunia meresap masuk ke dalam “rekahan sistem kewangan”.

Menurut The Guardian, ini malah lebih besar daripada saiz keseluruhan ekonomi Amerika.

Kajian berkenaan menunjukkan bahawa aset tersembunyi luar negara  oleh mereka yang mahu mengelak cukai-cukai menandakan pekali gini rasmi sebuah negara menderita akibat kehilangan  modal tidak akan mencerminkan satu gambaran sebenar.

“Standard mengukur ketaksamaan, yang cenderung untuk bergantung kepada kaji selidik pendapatan isi rumah atau kekayaan dalam setiap negara, secara radikalnya memperkecilkan jurang benar antara kaya dan miskin,” lapor The Guardian.

Ahli TJN John Christensen berkata ini bermaksud bahawa ia menunjukkan ketaksamaan mungkin menjadi lebih “teruk,” daripada perangkaan rasmi.
“Tetapi ahli-ahli politik masih bergantung pada lelehan memindahkan kekayaan untuk orang lebih miskin.

“Data baru ini menunjukkan bertentangan telah berlaku: untuk tiga dekad kekayaan luar biasa telah dialir ke dalam akaun-akaun luar negara satu bilangan yang kecil yang sangat kaya,” katanya lagi.

Pada Disember tahun lalu, pemerhati Amerika Syarikat, Global Financial Integrity melaporkan bahawa Malaysia telah kehilangan RM150 bilion melalui kehilangan modal dalam 2009 sahaja, keempat tertinggi untuk negara-negara membangun.

Pemerhati itu juga mendapati bahawa Malaysia telah kehilangan sejumlah US$338 bilion (RM1.08 trilion) pada dekad pertama  abad ini manakala RM930 bilion telah keluar dari negara antara 2000 dan 2008, bertambah kepada RM218 bilion setiap tahun dari permulaan RM71 bilion dalam tempoh itu.

Pembangkang pusat telah lama mengkritik Barisan Nasional (BN) atas kekurangan dalam menguruskan fiskal Malaysia ekoran perbelanjaan yang mana dakwa mereka bakal menyebabkan negara ini berhadapan dengan krisis hutang suatu masa nanti.

 

sumber : http://networkedblogs.com/Aaji2

PRESS STATEMENT ON THE LATE PETER ATO MAYAU

PRESS STATEMENT 21 JULY 2012

PETER ATO MAYAU

I am shocked and deeply saddened by the news that my Vice-Chairman Peter Ato Mayau has passed away after a helicopter in which he was travelling crashed into a river. The news of the crash came to me last night as I was attending a prayer rally at Buduk Nur, Ba’ Kelalan and I have just been informed that Peter’s body was recovered this afternoon. I am presently making my way back to Kuching.

Peter was a quiet but principled man who believed in the struggle for justice and fairness for the people. He was quietly working and campaigning in the Mambong parliamentary constituency in preparations for the coming General Election. We thank him for his contribution to the party and to the people of his area. We will miss him as we carry on with our cause.

We share in the grief of Peter’s family as they mourn the loss of a loved husband and father. We pray for them and with them. I wish also to extend my sympathy and prayers to the families of the other two victims, Siti Kuzaimah Annuar and Henry Law.

I wish to add here that there have been too many helicopter accidents in Sarawak over the past few years and I request that the authorities carry out a thorough investigation into the cause of the crash, and look into the overall safety procedures of helicopter services in the state.

May Peter’s soul rest in peace.

Baru Bian
Chairman
PKR Sarawak

Peluang merawat hati dan iman

 

Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman agar pelbagai penyakit hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat.

Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).

Sempena dengannya marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian.

Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik.

Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat.

Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.

Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum.

Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan.

Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.

Oleh sebab itu, bulan Ramadhan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran.

Buku panduan

Ini kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat.

Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:

Bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al- Baqarah 2:29).

Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan- panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).

Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya:

Maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang -orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).

Hari akhirat

Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga.

Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).

Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajib baca Surah Al- Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT.

Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama.

Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.

Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadhan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).

*Perutusan Ramadhan ini dipetik dari blog rasmi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan juga Menteri Besar Kelantan

Kerajaan Selangor disaran campur tangan projek LRT Kelana Jaya

(Oleh Sidiqin Omar)

PETALING JAYA
19 Julai: Kerajaan Selangor disaran campur tangan dan menggunakan kuasanya untuk menghentikan projek tambahan sistem LRT Kelana Jaya bagi laluan Taman Alam Megah dan Putra Height sehingga syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menitikberatkan aspek keselamatan.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Selangor perlu menubuhkan panel bagi meneliti semua keputusan penilaian bidaan teknikal projek dan membenarkan pandangan alternatif berdasarkan laporan kajian pakar dan bantahan penduduk.

“Kerajaan Selangor perlu mengenakan syarat ketat agar satu panel ditubuhkan untuk meneliti keputusan penilaian bidaan teknikal untuk memastikan keselamatan rakyat Selangor terjamin.

“Sekiranya Prasarana gagal mengambil kira tuntutan Selangor untuk bersama dalam panel penilai bebas, saya menyeru
kerajaan negeri menggunakan sepenuh kuasanya untuk memastikan Prasarana tidak boleh meneruskan projek ini,” kata nya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, dekat sini, hari ini.

Rafizi berkata, kontraktor yang dilantik Prasarana juga wajib mempunyai kepakaran dan isu keselamatan yang ditimbulkan penduduk tidak wajar ditolak mentah-mentah.

“Kita didatangi kumpulan dan laporan pakar lain yang turut persoalkan aspek laluan dan jajaran lain, yang sebelum ini
tak diberi perhatian,” jelas beliau.

Berdasarkan penilaian Laporan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dibuat Profesor Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, jajaran tersebut terlalu hampir dengan rumah penduduk, kolam air dan bekas kuari, iaitu kurang 20 meter.

Terdapat dua lokasi hentian terlibat sepanjang laluan dinamakan sebagai Stesen 11 dan 12 yang dibina pada struktur
tanah yang berbahaya dan melalui cerun-cerun curam berkelas III dan IV.

Berdasarkan laporan pakar, Rafizi tidak menolak kemungkinan berlakunya tanah runtuh, sedangkan wakil jawatankuasa
bertindak penduduk telah membangkitkan perkara sama sejak dua tahun lalu.

Semetara itu tambah Rafizi, terdapat laluan cadangan yang dikemukakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang
masih melalui Taman Megah-Putra Height, namun sehingga kini, tiada sebarang reaksi dari Prasarana.

“Kita tak menolak pembangunan atau sabotaj projek ini. Ini peranan kita untuk periksa dan imbang.

“Memandangkan pengalaman saya sendiri memantau Prasarana, setakat ini tidak meyakinkan bahawa isu keselamatan
diberi perhatian,” kata Rafizi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33029

NO PRIVATISATION! Tiada penswastaan air di Selangor- Anwar

 

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat tidak akan melaksanakan penswastaan air di Selangor, yang jika dilaksana hanya akan membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air.

“Kita tidak boleh terima syarat penswastaan Kerajaan Persekutuan dengan SYABAS kerana kadarnya tinggi. Ia dibuat dengan tidak telus dan tanpa tender.

“Justeru, Kerajaan Negeri Selangor tawarkan untuk ambil alih SYABAS dengan segera untuk mengelakkan tarif air meningkat hingga 70 peratus.

“Ia berbeza dengan cadangan Datuk Seri Noh Omar yang tawarkan air percuma melalui subsidi kepada syarikat swasta,” katanya.

Menurut Anwar, air sebagai khazanah bumi tidak sepatutnya dijadikan barang dagangan  sehingga membebankan rakyat.

Anwar berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena program ‘Wacana Pencerahan Bersama Dr Tariq Ramadan : Islam dan Reformasi Pemikiran ummah’, malam semalam.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat hajat. Dr Tariq memulakan syarahan sebaik selesai solat Isyak dan tamat kira-kira jam 11 malam.

Turut hadir adalah Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Islamic Rennaisance Front, Dr Farouk Musa, ahli akademik dan wakil dari badan bukan kerajaan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33066

Jika Selangor tidak ambil alih, Syabas akan naikkan tarif air hingga 70 %

 

(Aedi Asri)

KUALA LUMPUR : Pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang diusahakan kerajaan Selangor bertujuan mengelakkan tarif air meningkat hingga 70 peratus.

“Ia berbeza dengan cadangan Datuk Seri Noh Omar yang tawarkan air percuma melalui subsidi kepada syarikat swasta,” kata Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN itu juga menyifatkan air sebagai khazanah bumi yang tidak wajar dijadikan barang dagangan hingga membebankan rakyat.

“Kita tidak boleh terima syarat penswastaan Kerajaan Persekutuan dengan Syabas kerana kadarnya tinggi. Ia dibuat dengan tidak telus dan tanpa tender,” katanya.

Anwar merujuk usaha delegasi kerajaan Selangor diketuai Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok mengutus surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui pada 18 Julai lalu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena program ‘Wacana Pencerahan Bersama Dr Tariq Ramadan: Islam dan Reformasi Pemikiran Ummah’ di rumahnya malam tadi.

Pada 18 Julai lalu, delegasi kerajaan Selangor diketuai Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok mengutus surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bagi memaklumkan hasrat itu.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat hajat. Dr Tariq memulakan syarahan sebaik selesai solat Isyak dan tamat kira-kira pada jam 11 malam.

Turut hadir Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty; Pengerusi Islamic Rennaisance Front, Dr Farouk Musa, selain pimpinan parti, ahli akademik dan wakil badan bukan kerajaan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33055