Kalau benar BN itu telus, kenapa takut isytihar harta?

 

Kecelaruan yang negara alami kini, bukannya kerana masalah yang disebabkan oleh rakyat sebenarnya. Masalah yang ada pada hari ini adalah masalah yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat tidak memberi masalah kepada kerajaan. Sebaliknya kerajaan dan pimpinanlah yang memberikan masalah kepada rakyat sehinggakan rakyat sudah berang di dalam hati mereka yang menyebabkan mereka mempersoalkan segala tindak-tanduk pimpinan dan parti yang memerintah negara kita sekarang ini.

Isu yang terbesar di dalam negara kini ialah rasuah yang menyebabkan sistem kerajaan sekarang hampir lumpuh kalau kita sandarkan penilaian kita dengan negara-negara maju. Rasuah ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin justeru itu telah menyebabkan banyak perkara yang tidak betul lagi berlaku di hadapan mata rakyat.

Saya tertarik dengan cadangan Lim Guan Eng, Setiausaha Agong DAP, yang telah pun melakukan usaha yang bertanggungjawab mematikan budaya rasuah di negeri Pulau Pinang yang beliau tadbir. Beliau mencadangkan beberapa cara untuk menghapuskan rasuah seperti yang beliau sendiri telah lakukan di Pulau Pinang sejak beliau mentadbir negeri itu.

Di antaranya setiap ahli-ahli Pentadbir Negeri dari exco kerajaan serta pegawai pelaksana mengisytiharkan harta mereka. Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka termasuk akaun bank mereka di dalam dan di luar negara. Cara ini amat penting dilakukan kerana rakyat yang telah memberikan mereka mandat mahukan mereka mentadbir dengan bersih dan menghilangkan keraguan tentang kebersihan mereka menjaga harta benda rakyat.

Cadangan yang lainnya ialah memastikan tidak ada ahli keluarga pemerintah yang terlibat dengan kontrak kerajaan dan ini merupakan satu cadangan yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan oleh BN tetapi tidak dilakukan. Etika ini memang menjadi pakaian di negara negara maju di dunia ini. Tetapi di negara ini pemimpin-pemimpin kita tidak termampu untuk melakukannya kerana kedudukan mereka itu merupakan modal perniagaan bagi mereka dan keluarga serta kroni-kroni mereka.

Seperti yang dicadangkan oleh Lim Guan Eng pengisytiharan aset semestinya di‘institutionalized’kan kerana ia merupakan elemen yang terpenting dalam menjaga intergiti sesuatu kerajaan itu. Ini pun yang dilakukan oleh kerajaan negara-negara maju dan kebaikan amalan ini sepatutnya menjadi ikutan kita kerana ia adalah cara yang terbaik untuk menjaga rakyat dan negara. LGE telah memperkuatkan tindakan pengisytiharan harta ini dengan membuat pengesahan dari ‘akauntan bertauliah’ yang tidak boleh dipersoalkan kredibilti mereka.

Tetapi kalau kita hendak meniru dan menjadikan negara-negara mundur di Afrika seperti Zimbabwe dan sebagainya Najib dan BN tidak payah untuk bergegar-gegar berucap dan beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelangnya tahun 2020. Tidak mungkin negara kita akan menjadi negara maju sedangkan kita masih terhambat oleh mentaliti politik dan kerajaan dunia ketiga. Tidak mungkin kita akan menjadi rakyat negara maju jika mentaliti kita masing masing berunsurkan mentaliti dunia ketiga.

Saya pernah diberitahu oleh rakan yang pernah duduk di dalam kabinet kerajaan hari ini yang ramai di antara menteri-menteri kita tidak bersetuju untuk mengisytiharkan harta benda mereka kepada umum. Sebab yang menyebabkan mereka tidak mahu mengisytiharkan harta mereka itu bukanlah susah untuk difahami. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana mereka tidak mahu diketahui umum tentang cara dan bagaimana mereka boleh melonggokkan sejumlah harta yang begitu banyak dengan rumah-rumah mewah, kereta mewah dan segala-galanya mewah.

Itu sebabnya selalu saya katakan rasuah sentiasa tidak membenarkan kita melakukan kebaikan kerana melakukan kebaikan itu akan menyekat masa depan perasuah negara. Kadang-kadang kita tidak memahami kenapa begitu degil dan payah sangat bagi pimpinan kita untuk melakukan kerja yang baik dan menjadi amalan di dalam negara-negara maju.

Sekarang kita mempunyai barisan pemimpin yang tidak mahu mengisytiharkan harta mereka di dalam dan di luar negara kerana mereka mendapatkan semua wang ringgit yang besar itu melalui kedudukan mereka di dalam kerajaan, dan itu adalah cara rasuah.

Pengistiharan harta ini tidak mungkin boleh berlaku selagi barisan pimpinan ini menerajui kita dan selagi mereka boleh melakukannya rasuah ini tidak akan berhenti kerana seperti yang saya sebutkan rasuah ini merupakan ketagihan oleh pimpinan kita. Seperti penagih dadah, penagih rasuah juga tidak akan aman hidup mereka tanpa melakukan rasuah.

Oleh itu kita perlu melakukan sesuatu untuk rakyat Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam mana rakyatnya hanya memilih kerajaan yang bersih dan ‘sustainable’ kebersihan daripada rasuah ini. Untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju, sikap dan nilai, dan persepsi kita terhadap keterbukaan ini amat penting diperbetulkan.

Beberapa cadangan yang diutarakan oleh Lim Guan Eng itu sememangnya senang dilakukan jika semua pihak jujur dan ikhlas untuk melihat negara kita ditadbir oleh pimpinan yang bersih dan beretika. LGE sendiri sedang melaksanakannya dan tidak nampak kenapa pimpinan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri tadbiran BN tidak mahu melakukannya. Malahan apa yang dilakukan oleh LGE ini tidak digemari oleh BN kerana BN sememangnya tidak senang kerana rakyat telah nampak apa yang baik yang ada jika PR mentadbir negeri dan negara kita.

Tidak ada sebab langsung. Tetapi jika ada sebabnya ia tidak lain dan tidak bukan, ialah kerana mereka tidak mahu terbongkar segala kegiatan yang berunsur rasuah dan salahguna kuasa. LGE dan kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR telah pun melakukannya. Bila pula kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negari tadbiran BN pula mahu melakukannya? Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan yang rakyat masih ada harapan untuk melihat negara kita dapat diselamatkan daripada bankrap dan kejatuhan tamadunnya.

Jika peluang dan harapan ini tidak diambil kesempatan oleh rakyat maka rakyat tidak boleh lagi menyalahkan sesiapa selepas ini. Rakyat masih boleh melakukan usaha-usaha menyelamatkan negara kita daripada dirompak dan menjadi mangsa oleh pemimpin-pemimpin yang sudah ketagihan rasuah ini. Harapan rakyat ini hanya boleh dilakukan dengan meninggalkan yang buruk dan pergi ke arah kebaikan. Rakyat telah pun nampak di mana dan bagaimana untuk mendapatkan kebaikan itu. Berfikir dan lakukannya dengan baik dan terhormat.

Tentulah kebaikan itu akan mula kita perolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jangan was-was kerana sikap was-was ini merupakan sikap yang terkeji.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/10/kalau-benar-bn-itu-telus-kenapa-takut.html

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s